PENGENALAN CAMERON HIGHLAND
Dalam
tahun 1885, seorang Jurukur Kerajaan, William Cameron telah menjalankan
satu ekspedisi di kawasan Banjaran Titiwangsa dan telah melaporkan
bahawa beliau telah menemui satu daratan tinggi yang bercerun.
Gunung-gunung yang melindungi dataran ini kelihatan rendah jika diukur
daripada paras ketinggian dataran yang dijangkakan iaitu ketinggian
antara 1372.5 meter [4500 kaki] hingga 1403 meter [4600 kaki] dari aras
laut. Walaubagaimanapun, beliau tidak mencatatkan di dalam
pelan kedudukan sebenar dataran tinggi tersebut tetapi arah laluan
ekpedisi beliau menghala ke hulu Sungai Raja yang bersebelahan
dengan Negeri Perak. Dalam peta-peta selanjutnya, dataran tinggi
ini dicatatkan pada kedudukan yang berlainan. Hakikat ini jelas
menunjukkan kerja-kerja dan catatan yang beliau hasilkan hanyalah
merupakan satu jangkaan sahaja. Sungguhpun pada ketika itu beliau tidak
dapat memastikan kedudukan tanah dataran tinggi yang dimaksudkan itu
dengan tepat, tetapi adalah diakui bahawa beliaulah orang yang
pertama menyerlahkan kawasan ini dalam sejarah. Selanjutnya beliau telah
mengadakan satu ekspedisi penjelajahan di kawasan ini mulai bulan
Februari 1885 dan berakhir pada 1 September pada tahun yang
sama. Dengan itu, kawasan tanah tinggi ini dinamakan sebagai Tanah
Tinggi Cameron atau CAMERON HIGHLANDS bagi mengenang jasa dan
kerja-kerja penerokaan oleh William Cameron dan pasukan ekspedisinya.
Pada asalnya, Nama "Hill Station" buat pertama kali telah disebut dalam
satu minit mesyuarat oleh Residen Negeri Perak pada tahun 1888. Beliau
telah memberikan pandangan mungkin sebuah sanatorium boleh didapati di
Cameron Highlands di mana tempat-tempat peranginan, rumah-rumah
istirehat, taman-taman dan kawasan-kawasan pertanian boleh diusahakan.
Dalam tahun 1886 anggaran peruntukan wang sebanyak RM 20,000.00 telah
diberikan untuk membaiki dan memanjangkan lagi sebuah lorong sempit
menghala ke Cameron Highlands. Seterusnya pada tahun 1902 peruntukan
telah diberikan untuk memanjangkan lagi jalan tersebut hingga panjang
keseluruhan lorong tersebut mencecah 34 batu. Perbincangan mengenai
"Hill Station" ini masih berterusan sebagaimana yang diminitkan oleh
Pesuruhjaya Tinggi,seperti berikut
".....
sebelum sebarang tanah diberikan di Highlands, Pengarah Kerja Raya
hendaklah memilih tanah rizab Kerajaan, mencukupi untuk
kegunaan-kegunaan akan datang ."
Kerja-kerja
mengukur telah dijalankan pada tahun 1904 dan hasilnya ialah
satu kesimpulan dibuat mengatakan Lubuk Tamang, sekarang adalah tasik
sebagai kawasan tanah dataran yang dimaksudkan. Walaubagaimanapun,
ketinggian kawasan ini ialah 3,000 kaki dan jelaslah yang ia bukanlah
tanah dataran yang dimaksudkan oleh William Cameron dan tiada
tindakan-tindakan selanjutnya terhadap perkara ini. Hanya pada tahun
1920 barulah berlaku perkembangan terbaru apabila Pengarah Muzium
Negeri Pahang telah mengetuai satu ekspedisi dan telah membuat laporan
mengenai geologi, pertanian dan kesihatan di kawasan ini. Sebuah peta
lakar buat kali pertamanya telah dilukis oleh Jurutera Negeri dan
berdasarkan kepada pengamatannya, Cameron Highlands asal terletak di
kawasan Tanah Rata dan Brinchang yang ada sekarang ini. Seterusnya pada
tahun 1925, Sir George Maxwell telah membuat lawatan dan ketetapan untuk
membangunkan kawasan ini sebagai sebuah "Hill Station". Sebuah
Jawatankuasa Pembangunan telah dibentuk dan telah memulakan
persidangannya pada 18 Mei 1926. Jawatankuasa ini berfungsi sehingga
bulan November 1931. Dalam tempoh masa ini jalanraya telah dibina dan
pembahagian zon telah dibuat di daerah ini sebagai kawasan rizab Jabatan
Pertanian, kawasan bandar, tempat kediaman, pusat perkhidmatan, Taman
Negara, kawasan pentadbiran dan juga tempat rekreasi. Syarat-syarat
pemberian tanah juga telah dibuat dan syarikat-syarikat telah membuat
permohonan tanah. Jawatankuasa Pembangunan Cameron Highlands telah
menamatkan tugasnya pada akhir tahun 1931 dan bermula dari tarikh
tersebut daerah ini telah ditadbirkan sebagaimana yang dilakukan seperti
daerah-daerah lain di Negeri Pahang. Malahan, mulai 1 Julai 1931,
seorang Penolong Pegawai Daerah Inggeris telah ditempatkan di sini di
bawah pengawasan Pegawai Daerah Lipis. Dengan itu, bolehlah dikatakan
bahawa daerah Cameron Highlands telah diwujudkan pada 01 Julai 1931
dengan keluasan 71,218,000 meter persegi bersamaan 71,218 hektar
[175,973 ekar].
Pada
14 Ogos 1931, sebuah kawasan di Mukim Tanah Rata telah diisytiharkan
sebagai Kawasan Lembaga Kesihatan. Dalam tempoh masa yang sama sebuah
kawasan di Ringlet telah turut diisytiharkan tertakluk kepada
seksyen-seksyen yang berkaitan dalam Enakmen Lembaga Kesihatan. Lembaga
Kesihatan ini terdiri daripada lima orang ahli rasmi dan empat orang
ahli tidak rasmi yang dilantik untuk mentadbirkan kawasan-kawasan
tersebut yang berkuatkuasa sejak diisytiharkan sebagai Kawasan-Kawasan
Lembaga Kesihatan. Kerajaan telah membina jalan-jalan batu sejauh
18.63 batu, 13.79 batu jalan yang tidak berbatu dan 90.13 batu lorong
di Cameron Highlands. Satu geran yang dianggarkan berjumlah 5,000 ekar
tanah telah diberikan kepada Kompeni Boh di lembah Sungai Boh pada tahun
1929. Stesen-Stesen Percubaan Kerajaan telah dibuka oleh Jabatan
Pertanian, Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada
awal tahun 1926. Sebuah kilang teh yang kecil telah dibina pada tahun
1931. Purata suhu yang direkodkan di Cameron Highlands ialah 70 F dan
purata suhu minima ialah 56 F. Purata suhu bulanan di peringkat maksima
dan minima hanya berbeza lebih kurang 4 F tetapi suhu maksima yang
paling tinggi direkodkan ialah dalam bulan Mei dan suhu minima yang
paling rendah ialah dalan bulan Januari dan Februari. Suhu paling rendah
yang direkodkan ialah 42 F. Peperangan Dunia Kedua dan disusuli pula
dengan penaklukan Jepun serta perisytiharan darurat telah membantutkan
proses pembangunan di Cameron Highlands. Namun demikian setelah darurat
tamat, "Hill Station" telah membangun semula dan menjadi
tempat pelancongan yang kian popular bukan sahaja bagi penduduk-penduduk
tempatan bahkan kepada pelancong-pelancong luar negeri.
No comments:
Post a Comment